JULIHAI KASSIM (berbaju biru) dan Lailatul Shahirah Janesdin (dbaju merah) Foto: UTUSAN/MOHAMED SAARI
Majlis Kenduri Perkahwinan antara Seorang ibu dan anak perempuannya jarang sekali kita dengar. Demikianlah kisahnya apabila mereka bersanding serentak dengan pasangan masing-masing di Felda Chemplak Barat, Muar semalam.
Julihai Kassim, 44, dan anak sulungnya, Lailatul Shahirah Janesdin, 21, berkongsi pelamin dengan pasangan masing-masing dalam majlis yang meriah dengan kehadiran sanak saudara dan jiran tetangga.
Julihai yang sudah 12 tahun menjadi ibu tunggal berkata, idea untuk mereka bersanding secara serentak timbul selepas menerima pandangan daripada ahli keluarganya.
“Pada awalnya, saya bercadang bernikah pada Februari tahun depan, namun Lailatul mencadangkan supaya diadakan majlis persandingan serentak bagi menjimatkan masa dan perbelanjaan.
“Tambahan pula, ramai ahli keluarga dan saudara mara yang tinggal berjauhan dan bagi saya adalah membazir sekiranya hendak buat satu lagi majlis perkahwinan pada tahun depan kerana tempoh yang dekat selepas majlis perkahwinan anak,” katanya
Menurut Julihai, beliau telah berkenalan dengan suaminya, Shamsul Abdul Rahman, 42, melalui Facebook.
Katanya, dia tertarik dengan keberanian suaminya melamar pada pertemuan kali pertama mereka yang membawa kepada majlis pertunangan pada 20 Julai lalu.
Mengakui berasa bimbang terhadap pandangan masyarakat yang mungkin memandang sinis tindakan mereka, Lailatul mengetepikan perasaan tersebut kerana masing-masing sudah bergelar pasangan suami isteri yang sah.
“Saya dan pasangan juga boleh dikatakan bertuah kerana berpeluang berkongsi kegembiraan menamatkan zaman bujang bersama ibu dan ayah tiri yang jarang diperoleh oleh pasangan mempelai lain.
“Kami memilih tarikh 12 Disember untuk mengadakan majlis persandingan kerana menyifatkan angka tersebut unik dan tidak menyangka menjadi lebih bermakna apabila berpeluang berkongsi pelamin dengan ibu dan ayah tiri,” katanya.